IKHLAS DAN PASRAH MENERIMA DUGAAN

logo-soultherapy2Seperti yang di janjikan dua orang pesakit dari Parit Buntar datang jam 10am. Saya mulakan dengan merawat anak saudaranya. Saya lihat jerawat besar di mukanya sudah 80% kering. Ini menunjukkan rawatan ada kemajuan. Dia memberitahu apabila melakukan rawatan Daun Kering terasa ngilu di tapak kaki.

Saya menekankan kepada pesakit bahawa tiada siapa boleh disalahkan apabila mengidap penyakit begini. Walaupun saka adalah penyakit keturunan, kita generasi yang ada sekarang tidak tahu menahu perjanjian yang dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu. Kalau tidak ada perjanjian sekalipun, iblis akan tetap berusaha menyesatkan anak Adam.

Apabila diajukan soalan apa yang benda ini mahu serta cerita bomoh yang merawatnya sebelum ini bahawa benda yang menjaganya adalah benda yang baik-baik saja:- saya cuma dapat mengatakan sebaik-baik penjaga kita adalah Allah SWT. Tidak ada penjaga baik, buktinya dia tetap menyakiti kita dengan penyakit yang aneh-aneh. Mantapkan Tauhid kita dan berserah semata-mata kepada Allah.

Saya melihat ada seakan dendam terbuku di hati anak ini. Saya juga dapat merasakan keresahan si ayah. Saya terasa sebak apabila dalam esakan si ayah meminta maaf pada anaknya jika dia ada melakukan kesilapan. Begitulah kasih ayah kepada anaknya. Saya doakan segala kebaikan untuk keluarga ini.

Kepada anak muda ini saya ucapkan selamat maju jaya, Isnin depan nak daftar matrikulasi. Seperti yang saya pesan- kita jangan kalah semangat. Iblis buat kerja dia, kita buat kerja kita. Insyaallah semuanya akan baik-baik saja.

Selesai merawat si anak, saya merawat ibu saudaranya. Alhamdulillah kali ini dia tidak lagi kerasukan, cuma ada getaran sedikit sahaja. Alhamdulillah beliau telah mengamalkan zikir dengan baik.

Kepada kedua beranak ini serta ahli keluarganya saya berpesan, terimalah segala dugaan dengan ikhlas dan kita pasrahkan kesembuhan dari Allah. Apa yang telah kita serahkan kepada Allah jangan lagi kita persoalkan. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Dua ilmu inilah yang jarang manusia dapat amalkan dan inilah ilmu paling ampuh dalam menangani gejala gangguan iblis.